Tersebut satu kisah. Satu tempat yang jauh dari hiruk pikuk kekalutan dunia. Satu tempat di mana kebanyakan orang yang berada dalamnya hidup dalam keadaan aman damai.
Tempat ini dinamakan Kebun Pisang Ceruk. Sebagaimana namanya, penduduknya kerja menanam pisang. Pelbagai jenis pisang yang ditanam. Tiadalah jenis lain yang ditanam selain dari pisang semata-mata hendak dijadikan cerita.
Masalah yang satu, kawasan Kebun Pisang Ceruk ini dikelilingi oleh Binatang Yang Suka Makan Buah Pisang, dimana akan disingkatkan menjadi Biyasang (kerana penulis malas mahu menaip panjang-panjang). Biyasang inilah yang selalu menjadi ancaman kepada kawasan Kebun Pisang Ceruk tersebut. Akan tetapi, orang-orang yang berada dalam kawasan Kebun Pisang Ceruk ini tidaklah menganggap bahawa Biyasang ini satu ancaman malah menjadi mereka ini lebih beriltizam untuk menghasilkan lagi pisang yang bermutu tinggi.
Jika pisang yang ditanam itu sampai waktu untuk di tuai hasilnya, biasanya orang-orang dalam Kebun Pisang Ceruk akan mencampakkan tandan pisang yang pertama (bak kata orang tua, buah muda) kepada Biyasang tersebut. Jika Biyasang memakan tanpa banyak bunyi maksudnya pisang itu gred tinggi, jika baru dijamah sudah mengeluarkan bermacam bunyi, makan pisang itu tidak boleh ditanam dan digantikan dengan pisang jenis lain. Begitulah rutin kehidupan orang-orang di Kebun Pisang Ceruk.
Kalau dah namanya kebun pisang, mesti ada seorang yang akan jadi mandur untuk memastikan pengeluaran pisang mengikut jadual. Mandur inilah yang menguruskan segala-galanya dalam kawasan kebun pisang itu. Baik dari sakit pening orang-orang bawahnya mahupun kepada Biyasang yang berada di luar kawasan. Jika ada Biyasang yang cuba menceroboh ataupun mengaruk bagai nak gila. Mandurlah yang akan mengacukan senapang dan *pang!* ditembaknya Biyasang tanpa banyak soal.
Mandur yang satu ini sungguhlah di senangi oleh orang-orang dalam Kebun Pisang Ceruk. Bak kata suratkhabar "Pemimpin Berjiwa Rakyat" mandur Kebun Pisang Ceruk ini. Mandur yang satu ini sentiasa memastikan produk Kebun Pisang Ceruk ini sentiasa pada tahap yang terbaik dan disukai ramai seantero dunia. (Itu cita-cita Mandur yang satu ini).
Sudah dijadikan cerita, kehebatan mandur ini menguruskan Kebun Pisang Ceruk dengan cemerlang telah sampai ke telinga pihak pengurusan tinggi Gugusan Kebun Pisang. Board of Directors GKP (Gugusan Kebun Pisang) sebulat suara mahu melantik mandur Kebun Pisang Ceruk yang satu ini menjadi Ketua Segala Mandur di GKP. Maka, berpindahlah mandur yang satu ini dari kebun pisang yang disayangi.
Pengurusan GKP tidaklah mahu Kebun Pisang Ceruk terbiar tanpa pengurusan yang cemerlang, lalu di hantar Mandur yang kedua mengendalikan kebun pisang tersebut.
Datanglah Mandur kedua ini, disambut mesra oleh penduduk Kebun Pisang Ceruk, harapan mereka biarlah Mandur kedua ini sama pe'elnya dengan mandur yang lama. Akan tetapi, awan berarak kelabu, membawa kepada gerimis hujan batu.
Mandur kedua ini, hasil tanaman pisang dikautnya dan diserahkan kesemuanya kepada Biyasang tanpa banyak soal. Jika ada Biyasang yang naik gila, tidaklah dia mahu membunuh Biyasang tersebut tapi menyalahkan penduduk Kebun Pisang Ceruk kerana tidak pandai menghasilkan pisang yang berkualiti tinggi.
Hendak dijadikan cerita, sudahlah hasil pisang dikaut tanpa tinggalkan sesisir pun. Eh, di hamun pula kerana menanam pokok pisang di tempat yang salah!. Walhal, berpuluh tahun sudah di tanam ditempat yang sama.
Bangkitlah rasa marah penduduk KPC, kenapa mereka dipersalahkan jika Biyasang yang naik gila?. Kenapa dikaut pisang mereka dan diserahkan kesemuanya pada Biyasang?. Apakah mandur kedua ini asalnya dari keluarga Biyasang?.
Maka, berpakatlah beberapa individu penting dalam KPC untuk mengetuai pemberontakan menentang mandur kedua ini. Cerita pemberontakan ini pula akan disambung pada bahagian kedua Kebun Pisang ini.
Sekian.
4 comments:
moga tiada 'zombie kampung pisang' yg muncul dalam cerita ni..
Aku alergik sikit dgn zombie.. hehe
Salam perkenalan!
talib : salam perkenalan..cewahhh!
sambungla cepat.. nak tau gak jd ape.. hm.. mcm politik aje bunyinye.. :)
yeah..akhirnya da paham da citer nie..keh keh..time kasih tuan hakim dari ibu pregnant
Post a Comment