Wednesday, May 28, 2014

Ini Cerita Sama

Barangkali manifesto dia masih belum tercapai
Janjinya mahu membantu rakyat
Bagaimana mahu menjadi juara 
Kalau diri sendiri kerap mengadu domba?

Barangkali impian dia masih di kaki gunung
Mohon diberikan bantuan dariNya
Ah, asal susah baru hendak dipuja?
Mana dia semasa kamu sedang ketawa?.

Barangkali niat dia suci bersih katanya
Masakan bersih kalau ada udang di sebalik batu?
Masakan suci kalau masih lagi berdebu?
Kalau sudah hati yang menjadi raja bukan?. 

Barangkali doa dia tidak ke langit
Fikirnya mudahkan rencana
Asal matlamat menghalalkan cara
Sedangkan diri sendiri menjadi celaka

Dia lupa satu perkara
Hidup ini ibarat roda
Berpusing dengan laju 
Tapi ada turun naiknya. 

Mohon dia ingat itu selalu
Kalau mahu kami memberi restu.

Saturday, May 10, 2014

Emak

Terkesan dengan tulisan seorang sahabat tentang emaknya, menyebabkan lahirnya entri ini. Kadang-kadang perkara kecil ini selalu dinafikan walhal jauh dalam hati, seharusnya ada maaf yang masih lagi berhutang. Semoga sentiasa dirahmatiNya. 

Tekanan sebagai anak sulung memang sukar untuk diterjemahkan. Apatah lagi sebagai anak sulung lelaki dan tunggal. Dimeriahkan hidup dengan kehadiran lima orang adik perempuan yang setiap satunya ada acuan perangai dari abangnya ini. Dari kecil telah dilatih untuk berdikari, untuk bagaimana menghadapi hidup. Walaupun hati muda seringkali memberontak pasti akan tewas bila memikirkan hukuman yang bakal diterima apabila gagal melakukan tugasan yang diberikan. 

Sebut apa saja, segala bentuk hukuman telah diterima. Yang biasa mahupun yang "ultimatum". Hukuman selalunya datang dari emak. Emak yang sangat tegas dalam membentuk diri. Emak yang sangat "peculiar" yang mahu serba-serbi sempurna. Bayangkan kalau menjemur pakaian tidak mengikut SOP yang telah ditetapkan, tak telinga ditarik atau perut dipiuh. Berjurai air mata keluar memikirkan dimana salahnya lagi?. Objektif baju dijemur hanya untuk dikeringkan bukan mencantikkan barisan hujah kepala otak muda ketika itu. 

Persefahaman abah dan emak memang mantap. Abah akan menjalankan tugas memastikan akademik harus seiring dengan kehendak abah. Oh, itu nanti masa hari bapa kita cerita. Emak pula memang menerapkan kepentingan akan perlunya ilmu-ilmu berteraskan rumah tangga. "Walaupun lelaki, kau mesti kena tahu kerja rumah, akan datang semua benda mahal, kalau benda asas kau tak dapat kuasai, habis membazir duit yang kau usahakan" hujah emak. Hasilnya hari ini, "peculiarity" itu telah diwarisi aku dan diturunkan kepada The Safiyyah's. Ini adalah ucapan terima kasih yang pertama untuk emak.

Tetapi

Sudah namanya lelaki.

Manakan mahu menerima pesanan dari seorang wanita bukan?. Walaupun dari emak sendiri. Akibatnya selalu berlaku perselisihan faham yang kadang-kadang meributkan suasana rumah. Pernah cuba lari dari rumah tapi sudahnya terhenti setakat di tanggau surau depan flat. Kerana memikirkan beratnya hukuman yang bakal diterima. Lama-kelamaan, hati kental lelaki jadi pudar, terima apa saja hukuman jika melakukan kesalahan. Bersedia mengaku kesalahan telah menjadikan aku sebagai manusia yang terbuka hati untuk menerima sebarang teguran walaupun hati bengkak. Mengaku salah tidak bermakna kalah bukan?.Walaupun emak tidak perasaan akan ilmunya yang satu ini tapi ini adalah ucapan terima kasih yang kedua untuk emak. Percaya atau tidak, automatiknya, menyebabkan aku tidak betah duduk di tempat orang tapi memikirkan bagaimana emak dirumah.  Semasa bujang, mahu pergi kursus pun akan telefon emak tanya boleh ke tidak pergi ni. Hihihi. 

Pada satu ketika, kemuncak perselisihan berlaku apabila kegagalan aku menempatkan diri di mana-mana menara gading menyebabkan emak sedikit kecewa kerana fikirnya barangkali telah gagal membentuk aku menjadi anak contoh kepada adik-adik. Tekanan itu sangat dirasai, kurangnya komunikasi aku antara emak memang disedari menyebabkan aku menjeruk rasa. Diam lebih baik. 

Barangkali, seperti yang selalu diberitahu oleh abah. Aku sentiasa bernasib baik. Sangat bernasib baik. 

Saat aku memberitahu aku berpeluang belajar di negara orang. Disambut dengan ketawa yang mahu aku buktikan dengan tiket kapal terbang depan mata. Masakan anaknya yang gagal ini berpeluang!. Aku sedikit "down". 

Cuma 

Bila saat mahu pergi, di peluknya aku erat-erat. "Jaga diri baik-baik, make me proud" sambil menangis menyebabkan aku terjaga (Emak saya memang power English). Hilang segala dendam,amarah bila emak berpesan begitu. Selama ini, memang aku bersalah kerana tidak menjadi anak yang mendengar kata, yang selalu menyebabkan emak marah, yang selalu menyebabkan emak "stress". 
Pelukan erat emak menyebabkan aku bangun. Bangun untuk berbakti dengan emak selagi mampu. Selagi hayat dikandung badan. 
Terima kasih emak.
Kami enam beradik memang sayang emak. Selamanya. (Kalau tak taruk lima beradik lagi tu, ada yang "sayur"kan aku). 
Selamat hari ibu
Emak!