Tuesday, September 07, 2010

Kuih rayanya ke dinding!

1998

Tahun kedua beraya di negara orang.

Macam biasa, lepas sembahyang raya dekat surau yang disediakan oleh kampus. Aku dan rakan-rakan akan membuat kunjungan rumah ke rumah (sebenarnya hostel saja) kawan-kawan. Hari raya kan?. Memang mencekik jeklah kerjanya. Sebelum tu, rumah aku di serbu oleh rakan-rakan lain. Al maklumlah, rumah aku memang "rumah kebajikan" oleh mereka yang jauh dari keluarga dan sanak saudara. Ha ha ha!.

Nasib baik tahun kedua ni raya jatuh pada hari minggu. Kalau kena tahun pertama, sakit hati jek rasanya, lepas sembahyang raya kena pergi kelas!. Dapat pula kaum yang takde kelas. Dia punya nganjing memang boleh bawa sampai raya haji. Ok, aku dah mengarut. Balik kepada cerita asal.

Lepas kawan-kawan beraya di rumah aku. Aku memulakan langkah untuk beraya ke rumah rakan-rakan yang lain. Seingat aku,  yang sekali dengan aku ialah Along dengan Din serta beberapa orang kaum memulakan gerakan beraya membaham seberapa banyak makanan. Dah namanya lelaki, bila masa raya, dah tentulah raya rumah awek dulu kan?. Apa barang raya rumah jantan dulu. Lagipun kalau raya rumah jantan tak guna, bagi air sirap dengan biskut beli kat Spar. Macam gampang.

Jadi, rumah awek yang pertama kami pergi, dah tentu rumah Timah. Timah ni merupakan salah satu dari Top 10 awek yang ada kat kampus. Memang ramai yang cuba nasib untuk memberi hati kepada Timah tapi selalunya semua orang patah hati. Ha ha ha!. Yang jadi bonus, Timah ni memang pandai masak, sedap pula tu!. Jadi tak hairanlah, kalau masa raya, memang rumah Timah ni jadi tumpuan kami semua.

Masa aku dan geng sampai, satu grup yang diketuai oleh Eman Sungkai baru habis makan. Nasib baik derang dah habis, kalau duduk lagi memang robohlah rumah Timah!. Eman Sungkai punya modal lawak memang huru-hara memang tahap gaban betul. Silap-silap boleh tercekik air sirap bandung sebab gelak banyak sangat.

Timah dah rakan serumahnya jemput kami masuk. Aku dengan Din memang muka takde malu terus menuju ke dapur. Ikutkan, memang makan kat dapur pun, al maklumlah, hostel 4 bilik lepas tu terus jumpa dapur, takde ruang tamu bagai yang esklusif pun.

"Pergh, banyaknya kuih raya!"  Din bersuara sambil mencapai balang kuih Makmur tak silap aku.

" Ni mesti kau yang buatkan Mah?" tanya aku.Timah tersipu-sipu kena puji. Hek eleh minah ni.

"Ala, aku buat biskut bodoh-bodoh je dengan budak rumah aku ni hah" balas Timah penuh sopan.
Keh keh keh!.

Tiba-tiba

" Adoi!". Din menjerit. Apa hal pulak budak Din ni?. Tak boleh bawa jalan beraya betul!. Ngalahkan budak tadika jek. Kalau budak tadika memang aku dah sikukan jek perut Din ni, nasib baik dia bulat jadi niat aku nak siku tu simpan dalam hati jeklah.

" Ni kuih ke batu Timah!". Timah dah berubah muka. Aku capai sebiji kuih Makmur tu, aku gigit. Ya rabbi, memang macam batu pun!.

" Ni kalau baling dinding ni, mau pecah dinding!" habis jek Din cakap, terus kuih Makmur tu terbang ke dinding berdekatan. Betul, kuih Makmur tu memang keras. Tak pecah langsung!.

Aku masa tu dah gelak barai tak ingat dunia. Muka Timah dah merah padam menahan malu. Sudahnya kuih Makmur tu kami ambil seorang sebiji buat kenangan.  Nasib baik Timah jenis awek yang "cool", takde nak mengamuk bagai. He he he!.

Cerita kuih Makmur keras macam batu memang kami bawa sampai ke raya tahun depan!. Asal pergi rumah Timah jek, mesti kena bahan pasal kuih Makmur tu!. Kah kah kah!.


Friday, September 03, 2010

Tak perlu slogan, tak perlu propaganda, cukup dengan naluri kemanusiaan.

Kenapa tajuk entri aku macam tu?. Ini sebabnya.

Pagi tadi merupakan rutin biasa. Aku memandu untuk pergi kerja dengan ditemani Ain Safiyyah. Hantar dia ke rumah kakar ipar di Lubuk Cina. Pagi tadi memang kami berdua dalam keadaan mod "cruising". Ain pun elok duduk diam-diam di tempat duduk hadapan sambil menyanyi lagu raya yang berkumandang di radio. Jalan basah kerana subuhnya tadi hujan lebat. Depan kereta kami, ada sebiji motor yang agak laju.Elok kami melepasi satu selekoh yang sedikit berbukit, tiba - tiba ada seekor anjing melintas. Kelam kabut motor tersebut cuba mengelak. Nak dijadikan cerita, jalan basah dan motor tu tergolek.

Masya-allah!.

Rupa-rupanya, ada seorang budak perempuan yang aku rasa sebaya Ain turut tergolek daripada motor tu. Dia dah terlentang di tengah jalan. Aku terus memperlahankan kereta, berhenti di bahu jalan. Aku lihat ada tiga kenderaan di belakang aku turut berhenti. Aku lihat, ayahnya sudah memeluk anaknya. Budak perempuan tu dah meraung-raung kesakitan.
Aku bergegas mengalihkan motor abang tu. Sementara pemandu Grand Livina di belakang kereta aku pula mengawal trafik.Abang bawak van kilang belakang Grand Livina pula sibuk menahan kereta yang sudi berhenti untuk menghantar dua beranak itu ke klinik terdekat.

Pemandu Mercedes "old school" di belakang van kilang tersebut tolong bangunkan abang dan anaknya yang masih trauma akibat kemalangan tersebut. Dalam pada masa yang sama, sebuah Iswara hijau telah berhenti. Lekas-lekas pemandu Grand Livina  dan aku memapah abang tersebut masuk ke dalam kereta. Terima kasih pemandu Iswara hijau. Jasa kamu amat dikenang!. Sebelum pergi, sempat pemandu  Mercedes "old school" menitipkan wang utuk dua beranak itu. Setelah dua beranak itu selamat menuju ke klinik, kami pun bersurai. Masuk ke kereta masing-masing.

Lebih kurang 10 minit lepas tu, baru aku perasan, pemandu Grand Livina tu berketurunan India, manakala pemandu Mercedes "old school" itu berketurunan Cina dan aku serta pemandu van kilang berketurunan Melayu. Aku tersenyum sendiri.
Yup, walaupun masih terdapat mangkuk-mangkuk ayun yang sibuk memperjuangkan hak masing-masing tapi masih ada segelintir yang tidak mempedulikan itu semua. Segenlintir yang masih tinggi naluri kemanusiaannya. (Bukan masuk bakul angkat sendiri ya!). Itu yang sebenarnya bumi bertuah ni perlukan.

Naluri kemanusiaan. 

Monday, August 30, 2010

Merdeka.

Sudah 53 tahun, mengapa sekarang perlu ada kau untuk kau, aku untuk aku lagi?. Sudah-sudahlah tu. Benda tu semua tak akan membawa kebaikan. Jadi lebih buruk adalah. Kurang-kurangkanlah perangai berkelompok tu. Takde faedah.

Bukankah lebih bagus kalau kita semua masih lagi menyanyi lagu riang gembira bersama-sama, tanpa ada rasa prejudis. Bukankah itu lebih afdal.

Ini tidak, tak habis nak emosi bila ketuanan di usik, kita tak boleh kena pijaklah, kita kena bangkitlah. Kalau betul kau tak nak kena pijak, tak kena lunyai, kenapa masih ada yang berumahkan atap nipah?. Kenapa masih ada yang makannya di campur siput babi?. Kenapa bajunya masih ada yang koyak dan rabak?. Mana dia intipati perjuangan yang kau laung-laungkan dulu?.

Jangan kau laungkan semangat merdeka ini, jika jiwa kau sendiri belum merdeka dari sebarang prejudis ataupun syak wasangka. Kalau benar mereka salah, kalau benar mereka tipu, kita ada undang-undang, kita ada hukum-hakam. Biarkan kedua-duanya yang menentukan.Kita tiada kuasa untuk menentukan mana boleh, mana tidak.

Merdeka kita sudah 53 tahun, kalau dia mampu bersuara, mesti dia akan meluahkan perasaan kecewanya melihat keadaan sekarang ini. Mengapa perlu kembali kepada zaman tidak bertamadun?. Kenapa mesti bangkitkan semula rasial dari kubur yang tidak bernesan itu?. Sudah-sudahlah. Merdeka 53 tahun ini, bukanlah untuk di akhirkan pada 55 tahun, 60 tahun ataupun 100 tahun tapi untuk diwarisi sampai bila-bila. Agar yang akan datang tahu, apa ertinya berjiwa bebas, apa ertinya berjiwa merdeka.

Yang akan datang tidak mahu merdeka 53 tahun di warisi kepada mereka dalam keadaan yang goyah, yang busuk akibat ketaksuban rasial yang penuh nanah dan kotor ini. Jangan biarkan orang lain mengambil kesempatan atas kelalaian ini. Jangan biarkan mereka yang dulu pernah mengaut segalanya dari bumi bertuah ini kembali menguasai kita.

Merdeka yang 53 kali ini. Biarlah sederhana, biarlah biasa tapi penuh dengan kesedaran, penuh dengan semangat. Semangat baru yang mahukan sesuatu yang lebih baik, lebih bagus. Semangat nasionalisma baru untuk generasi akan datang!.