Tuesday, December 02, 2008

Ucu Kiah : Kena buang

Ucu Kiah termenung lagi. Dari pagi tadi sampailah ke tengahari ni,dia duduk melangut termenung mengenangkan nasibnya. Setelah sekian lama dia berbakti untuk persatuan kaum ibu di kampungnya, tahun ini, nasibnya seratus peratus berubah.

Ucu Kiah sedih, dulu dialah yang membangunkan persatuan kaum ibunya selepas mengambil alih dari arwah Hajjah Semon, masa dia mula-mula masuk persatuan tu, Hajjah Semon masih belum naik haji lagi, penduduk kampung masih panggil Kak Semon Ada Getah. Semua aktiviti yang arwah anjurkan, Ucu Kiah tak pernah tak sertai, semua Ucu Kiah sertai, paling dia ingat masa rombongan menuju ke Kuala Lumpur nak tengok acara pembukaan Sukan Sea pertama kali di Malaysia. Berposak-posak Ucu Kiah masak meehun bubuh kerang, siap bungkus untuk ahli rombongan. Bas sampai dua tiga kali berhenti sebab enjin panas. Maklumlah dulu mana ada lebuhraya yang bagi diskaun tol tengah malam.

Ucu Kiah ingat lagi, masa mesyuarat agung kali terakhir dibawah pimpinan arwah Hajjah Semon, seluruh ahli bersorak gembira bila Hajjah Semon mengumumkan penggantinya ialah Ucu Kiah. Ucu Kiah tersenyum-senyum malu sambil mengangkat tangan tanda bagus. Ucu Kiah menang tanpa bertanding sebab semua orang tahu kredibiliti dia.

Selama dua puluh tiga tahun Ucu Kiah mengemudi persatuan itu, banyak perkara dah Ucu Kiah buat, dari sekecik-kecik projek peringkat kampung hinggalah ke peringkat kebangsaan. Persatuan Kaum Ibu Kampung Pokok Ketapang memang terkenal sungguh. Paling Ucu Kiah ingat sekali bila persatuannya menang acara membungkus kerepek terbanyak peringkat kebangsaan. Pak Menteri datang menyampaikan hadiah kepada Ucu Kiah. Tersenyum-senyum Ucu Kiah menerima hadiah sambil mengangkat tangan tanda bagus.

Ucu Kiah sedih. Menungnya dah nak masuk waktu Asar, anak bujangnya Mail hanya mampu mengelengkan kepala bila pulang dari melepak untuk makan tengahari apabila melihat bawah tudung saji hanyalah dua-tiga ketul keropok lekor sarapan pagi.

Setelah sekian lama Ucu Kiah memegang tampuk pemerintahan, tahun ini Ucu Kiah dikejutkan dengan berita buruk. Berita yang membuatkan jiwanya luruh seluruh-luruhnya. Orang kanan Ucu Kiah, Pah Karen, janda beranak satu hendak melawan tauke.
Lagi mengejutkan Ucu Kiah, bila mana kebanyakkan orang-orang kepercayaan dia pun turut menyokong hasrat Pah Karen. Terduduk Ucu Kiah bila Selamah Gebu, Kak Ngah Anor anak Pak Lebai Leman, Busu Unggal pun turut menyokong hasrat Pah Karen. Semua itu adalah orang kuat Ucu Kiah dulu.

Asalnya memang niat Ucu Kiah untuk melepaskan jawatan pada tahun ini untuk diberikan kepada Pah Karen, niat Ucu Kiah biarlah dia selesaikan dua tiga projek untuk kali terakhir, dan pada raya cina tahun depan, Ucu Kiah akan berundur, pada hematnya biarlah dia berundur diri dengan jasa yang dikenang bukan muka diconteng arang.

Tup-tup,belum sempat Ucu Kiah nak beri "statement" pada orang kampung, Pah Karen dah mula kompangkan keinginannya. Tersentak Ucu Kiah bila cerita tu sampai ke telinganya. Jantung Ucu Kiah seakan terhenti bila mendapat berita tersebut.

Ucu Kiah tak faham sangat, kenapa begitu gelojoh sekali Pah Karen, kenapa tamak sangat Pah Karen tahun ini?. Apa geruh yang Pah Karen simpan terhadap dia?. Adakah disebabkan Ucu Kiah perna tegur baju kebaya yang Pah Karen pakai masa jamuan raya tempoh hari menyebabkan dendam Pah Karen tak pernah surut?. Ialah, macam mana Ucu Kiah tak tegur, baju kebaya Pah Karen macam baju pramugari, Mail anak lelakinya tak berkelip mata memandang Pah Karen,belum masuk lagi pandangan mata Haji Meon, ketua kampung, Ucu Kiah siap perasan ada air liur terkeluar dari tepi mulut Haji Meon.

Ucu Kiah mengeluh lagi, kalau tadi dia termenung di serambi rumah, menungnya disambung di hadapan televisyen, siaran astro ria kegemarannya tak diambil peduli sangat, hati Ucu Kiah betul-betul rusuh. Apa cara untuk Ucu Kiah "membersihkan" namanya yang telah tercemar?.

Tiba-tiba

*PLOP!*

"Weiiiii Ucu Kiah, apa benak sangat kamu ni,bawak-bawak pergi jumpa Wak Miskam yang duduk hujung kampung ni, tahulah dia nak ngajar Pah Karen macam mana!". Bayangan arwah Hajjah Semon muncul di dalam kaca tv.

*PLOP!*

Ucu Kiah tersentak. Kenapa dia tak terpikir dari pagi tadi?. Kalau dari awal tadi, mungkin petang ni Pah Karen dah datang menangis-nangis minta ampun depan rumahnya.Ucu Kiah tersenyum diikuti dengan gelak tawa orang jahat macam dalam cerita hindustan. Bergegar-gegar seluruh badannya.

Jaga kau Pah Karen!.

3 comments:

Jorji said...

wah! sebuah cerita menarik!
boleh lawan chamil wariya ni!

rudy bluehikari said...

post ke akhbar cepatttt..ekekeke

ayobkelubi said...

ji : hehehe...mana boleh lawan,itu tahap otai tu.

rudy : post ke sokabau?.harus jadi bahan nanti nie.hahaha