Tuesday, March 21, 2006

Bila angin dingin menyapa




Tenang. Itu adalah perasaan yang bersarang dalam hati aku apabila menjejakkan kaki ke Tanah Tinggi Cameron ini. Persekitarannya yang cool dan relaks berjaya menambat hati aku untuk setia menjelajah setiap pelusuk kawasan tanah tinggi ini. Cuaca siangnya yang tidak beberapa panas serta berangin menyebabkan perasaan aku dibuai-buai seolah-olah aku berada di kawasan peraginan Eropah bukannya Tanah Tinggi Cameron. Manakala pada waktu malam, kedinginannya yang semakin mencengkam menguatkan lagi perasaan bahawa inilah tempat paling sesuai sebagai terapi perasaan jika bergundah gulana.

Antara tempat yang mungkin menjadi suatu kewajipan untuk dilawati ialah ladang-ladang tehnya dan kawasan penanaman buah strawberi.
Jika di ladang teh, kita akan dibawa melawat ke dalam kilangnya untuk melihat bagaimana serbuk teh dihasilkan tidak ketinggalan berpeluang untuk membeli teh-teh yang telah dibungkus yang dijual pada harga yang agak murah dari biasa. Aku melawat ke Boh Tea Plantation dimana perkhidmatan shuttle disediakan dari tempat masuk naik ke kilang tehnya.

"Surinah,jangan lupa buatkan saya secawan teh ya" dengan di ikuti cebikan dari isteri aku apabila aku meniru gaya si penjajah semasa kami sedang berehat menikmati pemandangan kawasan bukit-bukau yang menghijau.Suasana di ladang strawberi pula akan menjanjikan satu pengalaman yang sukar dilupakan bila mana dapat memetik buah tersebut dan langsung terus di makan disitu.Berebut-rebut aku dengan isteri memetik buah strawberi yang menjadi kegemaran aku.Manis rasanya!.

Rose Valley adalah tempat paling tepat untuk dilawati dan membelek bunga-bunga ros yang bermacam jenis berjam-jam lamanya akan memberikan satu kepuasan yang tidak terhingga dan menyebabkan aku sakit pinggang apabila turut serta membelek bunga-bungaan sambil diberi penerangan oleh isteri aku.

Untuk aktiviti malam, aku hanya memilih untuk berjalan-jalan di sekitar pecan Brinchang.Serius,rasa macam hidup di zaman penjajahan sahaja apabila aku melintasi bangunan-bangunannya yang masih bercirikan kolonial sambil menyaksikan kehidupan malam warga Tanah Tinggi Cameron yang sememangya tidak ribut dan kalut dan barangkali bersantai di beranda peginapan sambil menghirup udara malam juga sudah cukup untuk dijadikan pelengkap hari jika kau malas nak berjalan-jalan.

Sekali lagi, Tanah Tinggi Cameron selayaknya adalah tempat paling sesuai untuk menikmati keindahan ciptaanNya sambil melakukan terapi hati perasaan yang gundah gulana untuk dijadikan ubat penyembuh sebelum kembali ke realiti yang bingit dan menyesakkan.

+++

Aku rasa inilah kelemahan aku dalam penulisan blog. Aku lemah dalam buat entri menceritakan pengalaman yang bermotifkan tempat-tempat. Aku fail gilak!.

Apa-apahal pun ini adalah untuk entri Tugasan 2 untuk JURING.

Kawan-kawan,tunggu apalagi?

Kasi undi akulah!.

Hehehe.

p/s : Kepada orang tu,kalau tak nak undi takpe. :-)

No comments: