Tuesday, September 07, 2010

Kuih rayanya ke dinding!

1998

Tahun kedua beraya di negara orang.

Macam biasa, lepas sembahyang raya dekat surau yang disediakan oleh kampus. Aku dan rakan-rakan akan membuat kunjungan rumah ke rumah (sebenarnya hostel saja) kawan-kawan. Hari raya kan?. Memang mencekik jeklah kerjanya. Sebelum tu, rumah aku di serbu oleh rakan-rakan lain. Al maklumlah, rumah aku memang "rumah kebajikan" oleh mereka yang jauh dari keluarga dan sanak saudara. Ha ha ha!.

Nasib baik tahun kedua ni raya jatuh pada hari minggu. Kalau kena tahun pertama, sakit hati jek rasanya, lepas sembahyang raya kena pergi kelas!. Dapat pula kaum yang takde kelas. Dia punya nganjing memang boleh bawa sampai raya haji. Ok, aku dah mengarut. Balik kepada cerita asal.

Lepas kawan-kawan beraya di rumah aku. Aku memulakan langkah untuk beraya ke rumah rakan-rakan yang lain. Seingat aku,  yang sekali dengan aku ialah Along dengan Din serta beberapa orang kaum memulakan gerakan beraya membaham seberapa banyak makanan. Dah namanya lelaki, bila masa raya, dah tentulah raya rumah awek dulu kan?. Apa barang raya rumah jantan dulu. Lagipun kalau raya rumah jantan tak guna, bagi air sirap dengan biskut beli kat Spar. Macam gampang.

Jadi, rumah awek yang pertama kami pergi, dah tentu rumah Timah. Timah ni merupakan salah satu dari Top 10 awek yang ada kat kampus. Memang ramai yang cuba nasib untuk memberi hati kepada Timah tapi selalunya semua orang patah hati. Ha ha ha!. Yang jadi bonus, Timah ni memang pandai masak, sedap pula tu!. Jadi tak hairanlah, kalau masa raya, memang rumah Timah ni jadi tumpuan kami semua.

Masa aku dan geng sampai, satu grup yang diketuai oleh Eman Sungkai baru habis makan. Nasib baik derang dah habis, kalau duduk lagi memang robohlah rumah Timah!. Eman Sungkai punya modal lawak memang huru-hara memang tahap gaban betul. Silap-silap boleh tercekik air sirap bandung sebab gelak banyak sangat.

Timah dah rakan serumahnya jemput kami masuk. Aku dengan Din memang muka takde malu terus menuju ke dapur. Ikutkan, memang makan kat dapur pun, al maklumlah, hostel 4 bilik lepas tu terus jumpa dapur, takde ruang tamu bagai yang esklusif pun.

"Pergh, banyaknya kuih raya!"  Din bersuara sambil mencapai balang kuih Makmur tak silap aku.

" Ni mesti kau yang buatkan Mah?" tanya aku.Timah tersipu-sipu kena puji. Hek eleh minah ni.

"Ala, aku buat biskut bodoh-bodoh je dengan budak rumah aku ni hah" balas Timah penuh sopan.
Keh keh keh!.

Tiba-tiba

" Adoi!". Din menjerit. Apa hal pulak budak Din ni?. Tak boleh bawa jalan beraya betul!. Ngalahkan budak tadika jek. Kalau budak tadika memang aku dah sikukan jek perut Din ni, nasib baik dia bulat jadi niat aku nak siku tu simpan dalam hati jeklah.

" Ni kuih ke batu Timah!". Timah dah berubah muka. Aku capai sebiji kuih Makmur tu, aku gigit. Ya rabbi, memang macam batu pun!.

" Ni kalau baling dinding ni, mau pecah dinding!" habis jek Din cakap, terus kuih Makmur tu terbang ke dinding berdekatan. Betul, kuih Makmur tu memang keras. Tak pecah langsung!.

Aku masa tu dah gelak barai tak ingat dunia. Muka Timah dah merah padam menahan malu. Sudahnya kuih Makmur tu kami ambil seorang sebiji buat kenangan.  Nasib baik Timah jenis awek yang "cool", takde nak mengamuk bagai. He he he!.

Cerita kuih Makmur keras macam batu memang kami bawa sampai ke raya tahun depan!. Asal pergi rumah Timah jek, mesti kena bahan pasal kuih Makmur tu!. Kah kah kah!.


Friday, September 03, 2010

Tak perlu slogan, tak perlu propaganda, cukup dengan naluri kemanusiaan.

Kenapa tajuk entri aku macam tu?. Ini sebabnya.

Pagi tadi merupakan rutin biasa. Aku memandu untuk pergi kerja dengan ditemani Ain Safiyyah. Hantar dia ke rumah kakar ipar di Lubuk Cina. Pagi tadi memang kami berdua dalam keadaan mod "cruising". Ain pun elok duduk diam-diam di tempat duduk hadapan sambil menyanyi lagu raya yang berkumandang di radio. Jalan basah kerana subuhnya tadi hujan lebat. Depan kereta kami, ada sebiji motor yang agak laju.Elok kami melepasi satu selekoh yang sedikit berbukit, tiba - tiba ada seekor anjing melintas. Kelam kabut motor tersebut cuba mengelak. Nak dijadikan cerita, jalan basah dan motor tu tergolek.

Masya-allah!.

Rupa-rupanya, ada seorang budak perempuan yang aku rasa sebaya Ain turut tergolek daripada motor tu. Dia dah terlentang di tengah jalan. Aku terus memperlahankan kereta, berhenti di bahu jalan. Aku lihat ada tiga kenderaan di belakang aku turut berhenti. Aku lihat, ayahnya sudah memeluk anaknya. Budak perempuan tu dah meraung-raung kesakitan.
Aku bergegas mengalihkan motor abang tu. Sementara pemandu Grand Livina di belakang kereta aku pula mengawal trafik.Abang bawak van kilang belakang Grand Livina pula sibuk menahan kereta yang sudi berhenti untuk menghantar dua beranak itu ke klinik terdekat.

Pemandu Mercedes "old school" di belakang van kilang tersebut tolong bangunkan abang dan anaknya yang masih trauma akibat kemalangan tersebut. Dalam pada masa yang sama, sebuah Iswara hijau telah berhenti. Lekas-lekas pemandu Grand Livina  dan aku memapah abang tersebut masuk ke dalam kereta. Terima kasih pemandu Iswara hijau. Jasa kamu amat dikenang!. Sebelum pergi, sempat pemandu  Mercedes "old school" menitipkan wang utuk dua beranak itu. Setelah dua beranak itu selamat menuju ke klinik, kami pun bersurai. Masuk ke kereta masing-masing.

Lebih kurang 10 minit lepas tu, baru aku perasan, pemandu Grand Livina tu berketurunan India, manakala pemandu Mercedes "old school" itu berketurunan Cina dan aku serta pemandu van kilang berketurunan Melayu. Aku tersenyum sendiri.
Yup, walaupun masih terdapat mangkuk-mangkuk ayun yang sibuk memperjuangkan hak masing-masing tapi masih ada segelintir yang tidak mempedulikan itu semua. Segenlintir yang masih tinggi naluri kemanusiaannya. (Bukan masuk bakul angkat sendiri ya!). Itu yang sebenarnya bumi bertuah ni perlukan.

Naluri kemanusiaan.