Yup, hari bapa hari ni, lepas tu isnin, hari jadi aku pula. Sempena hari bapa ni, aku saja nak keluarkan 5 filem terbaik dari sudut pandangan aku untuk korang. Filem-filem ini boleh korang tonton bersama dengan anak-anak (tanpa emaknya ok?) :P. Ini juga cubaan dari aku membebel pasal filem. Harap-harap korang dapat apa yang aku cuba sampaikanlah ek?.
5. Big Daddy (1999)
Lakonan selamba dari Adam Sandler dan krunya. Memang sempoi cerita ni. Bila aku tonton filem masa mula-mula dia keluar, sedikit sebanyak ada refleks diri aku dalam watak Sonny Kaufax tu, pemalas, ambil endah tak endah,yang paling penting, awek selalu lari sebab mereka tak nampak "kecerahan" masa depan mereka dengan aku cuma Sonny disedarkan dengan kehadiran Julian tapi aku takde pula budak datang ketuk pintu rumah,mengaku dia anak aku. Mampus aku kena ketuk dengan bapa aku pulak!. Filem ni pun secara sinisnya nak bagitau pada perempuan yang lelaki pun sebenarnya terbaik dari ladang juga dalam bab jaga anak-anak kecil cuma pendekatan mereka lebih ke arah "rock" sikit. Bonus fliem ini yang menyebabkan aku tak jemu untuk menontonnya ialah runut bunyi yang mengancam punya baik dari Limp Bizkit hinggalah ke "rendetion" Sweet Child of Mine oleh Sheryl Crow, paling tidak pun Lullaby dari Shawn Mullins. Akhir sekali, aku rekemenkan filem ini untuk semua bapa-bapa di luar sana yang rock n roll yet cool enough to change diapers!.
4. Road to perdition (2002)
Ok, tolong jangan angkat kening, walaupun jalan cerita dia ni banyak adengan *bang bang* tapi bagi aku ianya satu jalan cerita yang menarik untuk memberitahu anak kita apa kerja kita sebenarnya untuk memberi makan sesuap nasi kepada keluarga. Betapa beratnya tanggungjawab kita sebagai ayah walaupun kita bekerja sebagai seorang pembunuh upahan. Betapa pentingnya seorang ayah untuk memastikan yang terbaik untuk keluarganya. Lakonan yang terbaik dari Tom Hanks sebagai seoarang ayah yang sedaya upaya untuk membetulkan keadaan. Aku paling sadis bila babak Michael Sullivan (Tom Hanks) di bunuh oleh Harlen Maguire (Jude Law) depan anaknya dan anaknya "on the spot" balas dendam. Sweet!. He he he.
3. Father of the bride (1991)
Ini sebenarnya filem yang telah dibuat semula (remake) tapi aku ter"come across" filem ni dulu, cuma bukan ditonton di panggung tapi televisyen, tak silap aku cerita ni memang filem "staples" untuk hari bapa. Sebab banyak kali dah aku tonton, tak tv2 tayang mesti tv3 menyebabkan aku jatuh syok dengan cerita ni. Filem ini juga memperlihatkan sisi serius Steve Martin sebagai seorang bapa, (secara individu, ini filem pertama yang aku lihat Steve Martin serius). Bila aku layan cerita ni, memang aku letakkan diri aku kat dalam George Banks(Steve Martin), ada kah aku akan "freak out" bila anak dara aku yang seorang tu nak berkahwin?. adakah aku boleh handle bila dia cakap dengan aku,
"Ayah, kakak nak kahwin". Dalam erti kata lain, adakah aku benar-benar sedia untuk lepaskan anak dara aku ke tangan orang lain yang dipanggilnya suami nanti?. Banyak babak-babak "flashback" yang mengambarkan keakraban George dan Annie Banks lakonan Kimberley Williams Parsley dan secara harafiahnya George merasakan anaknya terlalu cepat membesar, serasa semalam semua benda dibuat bersama anak perempuannya. Macam aku juga, rasa macam baru saja, aku mendukung Ain Safiyyah tepuk-tepuk badan dia keliling bilik untuk tidurkan dia, sekarang dia dah bersedia untuk melangkah ke alam persekolahan (tadika main-main) pula. Rasa macam semalam je, bila kali pertama aku tengok dia berjalan, sekarang ni aku pula tak larat nak berlari dengan dia!. Bagi aku, sesiapa yang ada anak perempuan, it's worth it to watch this movie.capture it!. Oh ya, fliem ini ada juga bahagian kedua. Bahagian kedua aku tak pernah tengok lagi. :P
2. I am Sam (2001)
Cilakak, itu ayat yang keluar dari mulut aku bila habis tengok cerita ini, habis jiwa rock n roll jadi leleh. Sedih betul cerita ni, tak boleh aku nak bayangkan kalau aku berada di tempat Sam Dawson (Sean Penn) yang berjuang untuk mendapat hak penjagaan anaknya Lucy Diamond (Dakota Fanning rule!). Mampukah aku bertahan sebagai seorang pejuang macam Sam?, menghadapi skeptikal dari masyarakat akan ketidak bolehan kau sebagai bapa?. Sebenarnya filem ini secara sinikal menyindir kita, terlalu memandang luaran dalam menilai manusia. Sebagai contoh, adakah seorang lelaki yang suka menyimpan rambut panjang tidak boleh menjadi bapa yang baik?. Aku ada seorang kawan yang memang suka simpan rambut panjang tapi kalau korang tengok dia layan menyisir, menocang rambut anak perempuan dia, korang pun memang tabiklah!. Begitulah yang cuba di sampaikan dalam cerita ini. Walaupun aku rock n roll tapi keutamaan pada anak perempuan tetap nombor satu. Bukanlah aku mengatakan yang mana-mana muka belia 4B tu tak boleh jadi bapa yang baik, cuma kita ni kurang-kurangkanlah pe'el skeptikal tu. Jangan adili buku itu melalui kulitnyakan?.
1. Anakku Sazali (1956)
Mahakarya klasik. Bagaimana aku boleh lupakan saat Sazali memarahi Hassan kerana tidak memukulnya ketika kecil dulu?. Herdikan Sazali terhadap Hasan apabila cubaan Hassan mentarbiyah Sazali akan kejahatannya dulu?. Bagaimana aku boleh lupakan betapa sesalnya muka Hassan akan kesilapannya yang terlalu memanjakan Sazali semasa kecil.Babak-babak itu sungguh menghantui aku, kalau aku ada masa tu, mahu saja aku patahkan tengkuk Sazali atas sikap kurang ajarnya tu!. Kalau dulu sebelum menjadi bapa, aku tonton cerita ini kerana Tan Sri P Ramlee, (ya, aku memang peminat dia) tapi bila dah jadi bapa, pandangan aku terhadap filem ini secara keseluruhannya berubah. Jika tersalah langkah dalam mendidik, buruk padahnya, dah terngadah, tiada gunanya. Bukan untuk menunjuk tapi sekadar peringatan kepada semua rakan-rakan. Anakku Sazali adalah satu analogi, metafora untuk membuktikan bahawa kasih sayang membuta tuli tanpa tunjuk ajar yang sempurna tidak mampu membentuk anak kau untuk menjadi acuan yang kau inginkan. Wang ringgit bukanlah guru yang terbaik untuk mendidik anak.Seburuk-buruk anak, bapa mana yang tidak mahu lihat anaknya dalam kesusahan?. Hassan tetap membuka pintu untuk Sazali apabila dia diburu polis. Paling sedih, babak Hassan menatap potret Mahani sebelum menelefon polis untuk menangkap Sazali. Bagi Hassan, penangkapan Sazali adalah pengajaran yang terbaik sekali pernah Hassan lakukan demi merealisasikan apa yang di ingini oleh Mahani sebenarnya. Tabik untuk cerita Anakku Sazali.
Selamat hari bapa untuk kalian semua!.